... Kata-kata aluan Oleh En Rustam Affandi Bin Abdul Aziz, PMP, AMP, PJK Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia. Beliau mengucapkan terima kasih kerana kesudian YB Dr Maszlee Bin Malik Menteri Pendidikan Malaysia hadir pada majlis ini walaupun dalam kesibukan tugasan dan masa. Jelaskan tujuan gabungan diwujudkan bagi menyatukan gabungan majlis guru besar negeri-negeri di bawah satu gabungan besar. Guru Besar sebagai arkitek sosial bertanggungjawab untuk merialisasikan transformasi pendidikan masa kini. Ucapan tahniah GMGBM atas perlantikan YB Dr.Maszlee sebagai Menteri Pendidikan yang baharu . Mohon diberi perhatian oleh KPM berkaitan isu laluan kenaikan pangkat Guru Besar dan Penolong Kanan ke gred hakiki DG 48 untuk GB dan DG 44 untuk Penolong Kanan sekolah rendah setaraf dengan perjawatan Pengetua dan Penolong Kanan di sekolah menengah. Ucapan perasmian oleh YB Dr Maszlee Bin Malik YB Dr Maszlee bin Malik mengucapkan tahniah kepada semua Guru Besar seluruh negara terutamanya Guru Besar daripada negeri Sabah dan Sarawak serta lain-lain negeri kerana berjaya hadir ke Konvensyen GMGBM walaupun perlu mengeluarkan perbelanjaan dari duit poket sendiri. Ini menunjukkan bahawa semua Guru Besar mempunyai komitmen yang sangat tinggi dalam usaha memertabatkan profesion keguruan serta bertujuan untuk menimba ilmu yang disampaikan bersesuaian dengan keperluan pendidikan masa sekarang. 1. Beliau memaklumkan bahawa sebaik sahaja menerima tanggungjawab sabagai Menteri Pendidikan, YAB Perdana Menteri telah meminta agar beliau dapat memberi penumpuan terhadap peningkatan penguasaan murid-murid di dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris bermula seawal di sekolah rendah lagi. 2. Beliau juga menyatakan bahawa dengan tumpuan ke arah peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris tidak bererti Bahasa Ibunda diketepikan. Malah beliu juga telah bertemu dengan penulis-penulis yang memperjuangkan Bahasa Kebangsaan dalam GAPENA yang merancang melaksanakan Program Dekad Bahasa Melayu di peringkat Asia Tenggara. Beliau juga telah bertemu dengan pemimpin-pemimpin di negara Asia Tenggara agar dapat menggalakkan penduduk di rantau ini agar dapat turut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kegemaran bagi penutur di negara masing-masing. 3. Beliau juga menyentuh tentang isu kurang minat murid terhadap pengajaran guru terutamanya bagi pelajaran Bahasa (BM dan BI). Perkara yang dapat dikenalpasti adalah disebabkan pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan adalah terlalu membosankan dan masih dipraktikkan secara konvensional. Justeru beliau menyeru agar Guru Besar dapat memantau guru-guru di bawah kepimpinan masing-masing agar mampu mewujudkan sesi pembelajaran yang menarik minat murid. Antara aktiviti / kaedah yang dicadangkan adalah dengan menayangkan filem-filem yang mempunyai cerita-cerita yang mempunyai nilai yang baik dan menggalakkan murid berfikir dan seronok dengan PDPC dilalui seperti tontonan tayangan cerita-cerita arahan Allahyarham P.Ramlee.Beliau juga meminta para pendidik merujuk kepada karektor-karektor yang menarik seperti watak Upin dan Ipin yang mampu menarik minat anak-anak dan telah menjadi ikutan khususnya dalam amalan penggunaan bahasa Melayu yang berkesan kepada penduduk rantau asia tenggara. 4. Beliau juga menyeru agar Guru Besar dapat menjelaskan penerapan nilai-nilai yang baik dalam diri anak-anak terutamanya ketika memberi ucapan setiap kali sesi perhimpunan rasmi sekolah. Guru Besar perlu menjelaskan tentang kepentingan amalan nilai yang baik seperti amanah, jujur, bersih dan rajin kepada murid-murid di sekolah supaya penekanan berkaitan insaniah dapat diteruskan. Ini adalah kerana pembentukan sahsiah yang baik dalam kalangan rakyat Malaysia adalah bermula di peringkat sekolah rendah. Justeru guru guru di sekolah rendah memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk akhlak dan nilai yang baik dalam kalangan anak murid. 5. Beliau juga menyampaikan hasrat YAB Perdana Menteri berkaitan tentang intergriti. Di dalam setiap ucapan pembukaan sesuatu majlis YAB Perdana Menteri menyatakan pendidikan untuk mengelakkan rasuah/ salah guna kuasa perlu bermula seawal di tadika dan sekolah rendah lagi. 6. YAB Perdana Menteri berharap di peringkat sekolah rendah Guru Besar telah memainkan peranan bagi memastikan murid-murid sudah didedahkan berkaitan amalan membina jati diri dan integriti. Anak-anak jangan dibebani dengan ketidak seronokan hadir ke sekolah dan penekanan beliau terhadap penyelesaian berkaitan isu beg sekolah berat dan usaha pembentukan sahsiah dan nilai murni perlu diberi tumpuan utama oleh pihak sekolah. Suatu usaha ke arah memastikan guru-guru jangan dibebani dengan tugas yang banyak dalam bidang pengkeranian dan hanya perlu fokus terhadap pembinaan medium yang menyeronokkan dalam proses pembelajaran murid akan mula difikirkan. 7. Dengan kesedaran itu beliau telah mengambil pendekatan menghapuskan sistem Audit SKPMg2 oleh naziran dan penumpuan lebih kepada bentuk bimbingan dan khidmat bantu untuk sekolah. Dalam hal ini Guru Besar perlu sentiasa berusaha untuk melaksanakan dan membina hubungan yang baik bersama-sama guru dengan penuh kasih sayang. 8. Beliau juga berjanji akan memberi perhatian terhadap isu laluan kenaikan pangkat yang menjadi keluh kesah dalam kalangan pentadbir sekolah. Beliau meminta supaya diberi ruang masa sepanjang dalam tempoh 5 tahun perkhidmatan beliau untuk memenuhi segala janji berkaitan pemasalahan yang dihadapi oleh pentadbir dan guru-guru terutamanya di sekolah rendah. 9. Beliau juga mengingatkan guru-guru agar membudayakan amalan penggunaan ict dalam pembelajaran serta menggunakan teknik terbaharu dan konsep kemahiran aras tinggi dalam usaha memartabatkan pendidikan masa kini. Kemahiran berfikir aras tinggi bukan satu bentuk soalan yang sukar dan rumit untuk difikir oleh murid,tetapi apa yang penting pemikiran berdasarkan keperluan pembelajaran masa kini. Guru-guru perlu menerima pelbagai jawapan bersesuaian dari setiap sudut pemikiran murid. Dalam era Malaysia baharu, kita perlu banyak bersedia menerima kepelbagaiaan pendapat dan perbezaan cadangan terhadap sesuatu sarana. Pemupukan sikap percaya mempercayai antara satu sama lain, mewujudkan suasana harmoni dan kasih sayang dalam kalangan rakyat malaysia yang berbilang kaum dan agama. 10. Setelah diberi tanggungjawab mengetuai Kementerian Pendidikan, beliau berhasrat untuk memberi komitmen dengan berdasarkan konsep:: i) Gembira – sekiranya guru gembira datang ke sekolah jiwa akan tenang dan bekerja dalam suasana yang harmoni, tiada rasa tekanan dan tanggungjawab dapat dijalankan dengan sempurna. ii) Kasih sayang – Semua warga sekolah perlu mengamalkan sikap sayang menyayangi antara satu sama lain, kasih sayang antara guru dengan guru, guru dengan murid, guru dengan ibu bapa. iii) Hormat menghormati – Sikap ini sangat penting. GB menghormati guru-guru staf sokongan, pekerja pembersihan, pekerja kawalan keselamatan, pekerja kantin dan menjaga hubungan dengan ibu bapa. Manakala perkara yang paling penting hormat menghormati berdasarkan kepelbagaian bangsa. Kita tidak boleh menjadikan alasan berbeza bangsa tidak boleh wujud rasa kasih sayang dan hormat menghormati kerana ini adalah kunci kejayaan kita. Perkara ini sangat perlu diterapkan dalam kalangan anak murid seawal sekolah rendah. 11. Kita juga perlu mencontohi anak anak di Jepun yang telah diterapkan sifat bersih cekap, amanah dan rajin serta bekerja keras. Mempunyai sikap malu jika tidak rajin bekerja dan tidak mengamalkan sifat suka mengambil duit secara percuma. 12. YB Dr Maszlee juga berharap agar Guru Besar dapat menerangkan sekurang-kurangnya satu nilai baik dalam kehidupan pada setiap kali perhimpunan rasmi sekolah. Selain itu, perkara yang tidak kurang pentingnya iaitu menerapkan pemikiran jiwa pemenang. Anak-anak perlu mampu bersaing secara sihat setaraf dengan potensi pelajar yang lain sama ada sesama mereka atau melangkau ke peringkat antarabangsa dan mencapai kejayaan yang sepatutnya dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak kenal erti jemu. 13. Penekanan terhadap konsep softskill yang perlu ada dalam jiwa anak-anak terutama kemahiran pengucapan awam dalam kalangan rakan-rakan dan orang dewasa lain. Guru Besar dicadangkan untuk mewujudkan speaker corner di sekolah bagi melatih murid membiasakan diri dalam pengucapan awam di sekolah. Ini secara tidak langsung akan membentuk keyakinan diri dalam kalangan murid-murid apabila bergaul dengan orang lain. Beliau juga bercadang untuk pelaksanaan waktu rehat yang agak panjang untuk sesi persekolahan untuk memberi peluang murid bermain sambil membina kemahiran dan keyakinan diri dalam kalangan anak-anak setiap kali waktu rehat dengan rasa seronok. 14. Pada akhir ucapan YB Dr. Maszlee menyeru agar semua Guru Besar memberi sokongan kepada pihak KPM menerusi kerajaan era baru untuk membawa Malaysia maju ke hadapan setanding dengan negara-negara lain dunia. Tiga penetapan visi beliau adalah pertama, memastikan agar sekolah kebangsaan menjadi pilihan utama rakyat malaysia. Kedua,beliau ingin melihat produk hasil sekolah di Malaysia bertaraf antarabangsa. Ketiga beliau memberi kepercayaan kepada semua Guru Besar agar dapat mengangkat profesion perguruan menjadi pilihan utama dan penekanan penghak keupayaan (impowerment) bagi mengangkat kerjaya guru sebagai berprestij setaraf dengan peningkatan profesionalisme pendidikan masa kini. Beliau juga berharap agar dalam jangka masa lima tahun dapat menangani isu kenaikan gaji dan gred para pendidik seperti yang diharapkan. Beliau juga berharap konvensyen ini menjadi satu wadah ke arah mengeratkan hubungan di samping dapat menimba ilmu dan membincangkan isu-isu berkaitan secara profesional dengan lebih mendalam serta penekanan terhadap komitmen padu penyemain ilmu dan akhlak dalam pembentukan anak didik bangsa. Terima kasih Dari meja pencatat.

Blog Archive

Contributors

Labels